Sunday, 10 March 2013

KULIAH DHUHA SIRI 1


Alhamdulillah,syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T. atas nikmat-Nya pada hari ini.
Alhamdulillah juga kerana kita masih bernafas,menghirup udara segar yang diberikan secara percuma oleh Allah S.W.T.

Pada 27 Januari 2013 yang lalu,Yayasan Darul Furqan telah mengadakan KULIAH DHUHA buat kali yang pertama.Alhamdulillah,semuanya berjalan dengan lancar.Kuliah telah disampaikan oleh Tuan Haji Mohd Zaini bin Shafiai.Sesuailah dengan namanya DHUHA yang bermaksud PAGI,maka kuliah dhuha ini telah bermula pada pukul 10.00 pagi.Kuliah ini juga telah dihadiri oleh 20 orang.

Tuan Haji Mohd Zaini bin Shafiai

Tujuan kuliah dhuha ini diadakan adalah untuk menambah ilmu tentang ilmu QIRAAT,di samping merapatkan hubungan silaturrahim.Selain itu,peserta-peserta boleh mendapatkan input-input yang berguna untuk diaplikasikan dalam kehidupan seharian.

PENGERTIAN ilmu Qiraat : Merupakan ilmu yang menjelaskan kaedah menyebut kalimah-kalimah di dalam
Al-Quran tentang kekhilafan pada lafaz-lafaz wahyu dalam huruf Al-Quran serta membincangkan tentang kalimah tersebut seperti panjang,pendek dan sebagainya,di samping menjelaskan perbandingan bacaan antara imam-imam Qiraat.


Antara topik yang dibincangkan ialah :-

ISTIA’ZAH
Maksud isti'azah ialah memohon perlindungan dari sesuatu. Iaitu memohon perlindungan daripada Allah terhadap syaitan yang direjam. Di sunatkan membaca isti'azah ketika memulakan bacaan al-Quran dengan sighah seperti berikut:

والصيغ الواردة في الاستعاذة ثلاث  وهي :-
1 -  أعوذ بالله من الشيطان الرجيم  ( وهذه الصيغة المختارة )
2 -  أعوذ بالله السميع العليم من الشيطان الرجيم
3 -  أعوذ بالله العظيم من الشيطان الرجيم


Nabi S.A.W tidak menambah sighah isti'azah seperti yang terdapat di dalam surah an-Nahl tanpa penambahan. Adapun hadith yang meriwayatkan penambahan adalah hadith doif seperti bacaan  yang terdapat dalam riwayat hadith Imam At –Tirmizi  أعوذ بالله من الشيطان الرجيم من همزه ونفخه ونفته. Ia lebih kepada tujuan perubatan ( hifzi ) bukan tilawah.Firman Allah SWT :

فَإِذَا قَرَأْتَ الْقُرْآنَ فَاسْتَعِذْ بِاللّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
“Apabila kamu membaca AlQuran, hendaklah kamu meminta perlindungan kepada Allah dari syaithan yang terkutuk.” (QS. An-Nahl [16] : 98).

Riwayat Imam Nafi', membaca isti'azah dengan sirr (perlahan) pada seluruh surah Al-Quran. Riwayat Kholaf dari Imam Hamzah, membaca isti'adzah dengan jahr (kuat) khusus pada awal surah Al-Fatihah, dan membaca isti'azah sirr selain surah Al-Fatihah. Riwayat Khollad dari Imam Hamzah, membolehkan membaca dengan sirr atau jahr pada seluruh Al-Quran.

Akan tetapi yang terpilih bagi Imam Ashim dan Imam-imam yang lainnya membaca isti'azah dengan suara jahr  atau sir pada tempat-tempat tertentu. Dengan suara sirr (perlahan ) pada tempat-tempat  seperti berikut :-

1. Apabila pembaca membaca dengan perlahan seperti suara berbisik, dalam keadaan sendirian atau dalam majlis (tempat yang ramai orang).
2. Apabila pembaca seorang diri, membaca Al-Quran dengan suara nyaring atau perlahan
3. Dalam keadaan sholat baik sirr atau jahr (sendirian atau jama'ah, menjadi imam atau ma'mum).
4. Apabila membaca dalam jama'ah tadarus Al-Quran bukan sebagai pembaca pertama.


BASMALAH
Basmalah adalah ringkasan daripada kalimah ( Bismillahir Rahmanir Rahim) yang bermaksud dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Lafaz basmalah terdapat di dalam Al-Quran iaitu di dalam surah An-Naml ayat 30 :

إِنَّهُ مِن سُلَيْمَانَ وَإِنَّهُ بِسْمِ اللَّهِ الرَحْمَنِ الرَّحِيمِ

"Sesungguhnya surat itu dari Nabi Sulaiman, dan kandungannya (seperti berikut): `Dengan nama Allah, Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang"


Hukum membaca basmalah di awal surah adalah Sunat ( sunnah ) kecuali di awal surah At-Taubah kerana diturunkan kerana peperangan. Peperangan adalah huru-hara dan basmalah adalah keamanan. Tidak mungkin berhimpun keamanan dan huru-hara dalam masa yang sama.

Berikut adalah perbahasan bagi Qurra' yang membaca basmalah atau tidak membacanya ketika menyambung bacaan antara dua buah surah.Terdapat empat ulama' Qurra yang membaca basmalah di antara dua surah kecuali surah al-Anfal dan surah at-Taubah iaitu :

     1.  Qolun       2.  Imam Kisaie        3.  Imam A'sim         4.  Imam Ibnu Kathir

Mereka bersependapat bahawa perlu membaca lafaz basmalah pada semua surah di dalam Al-Quran kecuali surah Al-Anfal dan At-Taubah.

Terdapat seorang ulama' Qurra yang menyambung dua surah tanpa membaca basmalah iaitu :
    1.  Imam Hamzah
Terdapat tiga ulama' Qurra yang menyambung bacaan antara dua surah dengan 3 cara iaitu :
    1. Imam Ibnu A'mir       2.  Warsy         3.  Imam Abu A'mru
Cara bacaan mereka : 
  • Membaca basmalah pada semua awal surah kecuali surah An-Anfal dan At-Taubah.
  • Menyambung akhir surah dengan awal surah tanpa membaca basmalah.
  • Saktah (berhenti sekejap tanpa mengambil nafas yang baru) tanpa membaca basmalah.

Terdapat empat cara membaca basmalah di antara dua surah, cara yang keempat ditegah iaitu:
1. Diputus seluruhnya (
قطع الجميع     ).
2. Disambung seluruhnya  (
  وصل الجميع   ).
3. Berhenti pada akhir surah dan
basmalah disambung dengan awal surat
                          (قطع آخر السورة عن البسملة ووصل البسملة ببداية السورة).
4. Akhir surah disambung dengan
basmalah, kemudian berhenti dan membaca awal surah 
(وهو الوجه الممنوع ان يصل آخر السورة بالبسملة ثم يقف ويبدأ بالسورة التي تليها

Cara yang keempat ini adalah ghair jaiz atau tidak boleh dipakai. Alasannya, kerana takut disangka bahawa basmalah merupakan ayat terakhir surah tersebut.

Antara muslimin dan muslimat yang hadir :)

           


Selepas kuliah dhuha diadakan,Tuan Haji Mohd Zaini akan membicarakan dan menghuraikan dengan lebih terperinci terjemahan Kitab AL-HIKAM dengan merujuk kepada sebuah buku yang berjudul TERJEMAHAN AL-HIKAM (Pendekatan Pengabdian Pada Khaliq).


Buat pengetahuan semua,kuliah dhuha ini akan diadakan setiap bulan pada minggu ke-4.
Muslimin dan muslimat dijemput hadir.
Insya-Allah,sesuatu yang baik untuk dilakukan dengan niat yang ikhlas akan sentiasa dibantu Allah S.W.T.

No comments:

Post a Comment